KOTA KINABALU: Aspek keselamatan awam di Sabah akan terus diperkasa bagi memastikan rakyat dapat menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial dengan aman, damai dan sejahtera.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jaminan keselamatan awam bukan sahaja memberi kesan kepada persekitaran yang lebih selamat, malah akan meningkatkan keyakinan pelabur luar untuk menjalankan aktiviti ekonomi di negeri ini.
“Keamanan yang kita kecapi ini juga akan membolehkan agenda pembangunan negeri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.katanya di sini hari ini.
“Kerajaan negeri mengucapkan jutaan terima kasih di atas jasa bakti dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di negeri ini,” katanya di sini hari ini.
Hajiji berkata, tugas serta tanggungjawab mereka dalam bidang pekerjaan masing-masing sangat mencabar dan pengorbanan anggota keselamatan dan petugas kesihatan tidak pernah mengenal erti penat mahupun takut hinggakan nyawa dan keselamatan diri sendiri menjadi taruhan demi menjaga keselamatan, akan sentiasa diingati.
Beliau turut mengingatkan rakyat negeri ini agar terus melakukan kawalan kendiri bagi mengelakkan dijangkiti wabak COVID-19 berikutan Kementerian Kesihatan mengesan peningkatan kes COVID-19 sebanyak 37.7 peratus bagi minggu berakhir Sabtu lalu (1 April 2023) susulan pembukaan semula sekolah di seluruh negara.
“Justeru, saya berharap kita semua sentiasa berhati-hati dan perlu jaga diri demi keselamatan diri sendiri dan keluarga masing-masing,” tegasnya.
Hajiji berkata, setiap tahun kerajaan mengadakan Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri sebagai mengenang jasa bakti dan menzahirkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan sama ada yang bertugas di sempadan, darat, laut dan udara.
Beliau berharap penganjuran majlis itu akan meningkatkan kesedaran terhadap sumbangan bakti anggota keselamatan dan petugas kesihatan kepada bangsa dan negara.
“Pengorbanan anggota pasukan keselamatan kita yang bertugas di perbatasan dan terpaksa berjauhan dengan keluarga, demi untuk menjaga keamanan dan ketenteraman kita sepanjang masa pada musim sambutan hari raya yang akan menjelang tiba,” tegasnya.