KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengesahkan beberapa gangguan bekalan elektrik sekitar Kota Kinabalu adalah berpunca kegiatan mencuri kabel milik mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif (SESB), Mohd. Yaakob Jaafar berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis bagi memastikan kegiatan ini dapat dibenteras dalam tempoh terdekat.

Katanya, orang awam perlu menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan mencuri kabel tembaga milik SESB, yang semakin berleluasa, sejak kebelakangan ini.
“Apabila kabel SESB di kawasan tertentu dicuri atau dimusnahkan, masyarakat setempat tidak dapat menikmati bekalan elektrik sekali gus boleh menjejaskan rutin harian mereka.
“Ini seterusnya akan membawa kepada implikasi lain selain boleh menjejaskan aktiviti perniagaan serta kegiatan ekonomi masyarakat setempat.
“SESB ingin memberikan perkhidmatan bekalan elektrik terbaik kepada semua rakyat, tetapi sekiranya aktiviti jenayah ini masih lagi berleluasa, ia mungkin akan membantutkan usaha ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohd. Yaakob berkata, usaha menangani jenayah ini tidak dapat dilakukan tanpa bantuan daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat umum.
“Setiap maklumat yang diberikan akan dapat membantu mempercepatkan tindak balas SESB seterusnya meminimumkan kesulitan yang akan dihadapi oleh orang ramai ekoran kesan kepada jenayah ini,” katanya.