SANDAKAN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Sandakan telah merampas sejumlah 400 liter disyaki minyak petrol yang dibuang ke laut dari dua abot pancung berhampiran Pulau Bai dekat sini, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapt Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata minyak itu dibuang ke laut ketika aksi kejar buru di antara pihak Maritim Malaysia dengan bot pancung terbabit yang disyaki dipandu oleh penyeludup.
Katanya, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan operasi lebih kurang pukul 3.10 petang telah mengesan dua bot pancung itu dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 1.6 batu nautika utara Pulau Bai.
“Pihak Maritim Malaysia kemudiannya dengan menggunakan pembesar suara telah mengarahkan bot pancung itu untuk berhenti. Namun bot terbabit tidak memberikan kerjasama dan telah memecut laju sambil bertindak membuang 20 tong disyaki berisi petrol ke dalam laut.
“Dua bot pancung itu kemudiannya bergerak menuju ke perairan cetek dan berbatu yang berhampiran dalam usaha meloloskan diri daripada dikejar bot penguatkuasa,” katanya di sini.
Menurut beliau, tiada tangkapan dilakukan dan kesemua minyak yang dirampas dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.
Katanya kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, dalam kes yang berasingan, APMM Zon Maritim Sandakan turut menahan sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 iaitu membawa 45 penumpang tanpa kebenaran.