LAHAD DATU : Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera diserang seekor gajah dalam kejadian di sebuah kebun ubi di Kampung Perpaduan, Skim Begahak dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dr Rohan Shah Ahmad berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 malam itu, dimana pasangan suami isteri berkenaan yang dikenali sebagai Lopis Jubin berusia 90 tahun dan isterinya, Dalama Hamid, 61 tahun berada di dalam sebuah pondok untuk menjaga kebun ubi mereka.
Katanya sekumpulan 12 ekor gajah memasuki kebun mereka dipercayai untuk mencari makanan.
Menurutnya menyedari kehadiran haiwan berkenaan, pasangan suami isteri itu keluar daripada pondok berkenaan dan cuba melarikan diri.
Namun, katanya, seekor gajah telah mengejar mangsa sebelum menyerang pasangan suami isteri itu dengan menendang dan memijak mereka.
Katanya akibat serangan gajah itu, Lopis disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di dada, mata dan tangan.
Beliau berkata Dalama mengalami patah pinggang selain cedera di peha kiri dan lebam di kedua-dua tangan.
Rohan Shah berkata mayat Lopis telah dibawa ke bahagian forensik Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut manakala isterinya kini menerima rawatan di hospital sama.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu ,Silvester Saiman pihaknya telah ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.
Katanya hasil pemeriksaan, terdapat kesan kehadiran sekumpulan gajah di kawasan kebun ubi mangsa seperti kesan tapak kaki gajah, pokok ubi yang patah serta geseran pada pondok yang didiami mangsa.
Menurutnya terdapat juga kesan tapak kaki gajah di kawasan parit kecil, lokasi kedua-dua mangsa ditendang dan dipijak.