TAWAU : Mayat kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun yang dikhuatiri lemas akibat terjatuh di muara sungai di Kampung Kurnia Jaya, Jalan Apas, Batu 4, di sini telah ditemui, pagi tadi.
Komander Operasi, PBK II Mohd Yahya Abdul Fattah berkata, mayat Adwa Iman Muhammad Iswan ditemui oleh orang awam lebih kurang 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, kira-kira pukul 6.45 pagi.
Katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia dan kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah telah menerima laporan kecemasan mengenai seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai jatuh ke muara sungai, petang semalam.
Menurut laporan itu, ibu mangsa menyatakan anaknya telah tergelincir kemudian terjatuh dan dibawa arus sewaktu bermain di belakang rumah.
Kejadian itu dilaporkan berlaku lebih kurang pukul 6 petang dan ketika kejadian, mangsa dikatakan memakai baju berwarna putih.
JBPM menamatkan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 7.40 pagi selepas memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi kejadian.