APMM Labuan gagalkan cubaan seludup minuman keras bernilai RM100,000

LABUAN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Labuan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar pelbagai jenis minuman keras yang dianggarkan bernilai hampir RM100,000 pada Isnin lepas.

Pengarah Zon Maritim Labuan Kapt Maritim Izwanhadi Idros berkata, bot peronda Zon Maritim Labuan yang sedang menjalankan operasi di perairan Labuan telah mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan menuju ke arah Tanjung Klias, Menumbok Sabah kira kira jam 12.30 pagi.

APMM Labuan gagalkan cubaan seludup minuman keras bernilai RM100,000.

“Ketika menghampiri bot terbabit untuk pemeriksaan, tekong bot telah meninggalkan bot berkenaan dengan terjun kelaut dan berjaya melarikan diri berhampiran hutan bakau Tanjung Klias,” katanya sidang akhbar yang diadakan di pejabatnya di sini.

Beliau berkata hasil daripada pemeriksaan lanjut pihaknya telah menemukan sebanyak 5,472 tin minuman keras pelbagai jenama dipercaya dibawa secara haram dan diseludup keluar dari Labuan untuk pasaran tempatan.

Izwanhadi berkata kesemua barang seludup bersama bot telah dirampas dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.