PUTATAN — Perdana Menteri Dqtuk aseri Anwar Ibrahim memberi bayangan kesediaan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRN Sabah ke-17, dengan alasan keperluan memastikan pembangunan negeri tidak terhenti.
Berucap di Karnival Harapan Urang Sabah, Anwar yang juga pengerusi PH menegaskan hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri penting bagi mempercepatkan agenda pembangunan, khususnya projek-projek berkaitan infra asas dan MA63.
Katanya, memandangkan PH bertanding jumlah kerusi yang terhad, gabungan itu bersedia membuka pintu rundingan dengan mana-mana pihak pasca-polling.
Dalam ucapannya, Anwar turut menyatakan kehadirannya di satu program bersama Pengerusi GRS, Hajiji Noor, adalah kerana beliau mahu membantu GRS mencapai kemenangan.
Anwar memuji Hajiji sebagai pemimpin yang “tidak meminta projek untuk diri sendiri” sebaliknya menuntut tambahan pembangunan untuk rakyat Sabah.
“Saya baik dengan dia kerana dia minta projek untuk rakyat. Sebab itu saya katakan, kita perlu terus bekerjasama,” tambahnya sambil menggesa pengundi Putatan memenangkan calon PH di DUN Petagas, Datuk Awang Husaini Sahari.
Anwar juga menegaskan lawatannya bukan untuk menabur janji baharu, tetapi menerangkan projek yang sedang berjalan — termasuk isu air, elektrik, Pan Borneo dan pelaksanaan MA63 — sambil mengingatkan rakyat bahawa “ini bukan janji, ini sudah dilaksanakan”.
