Annuar beri bayangan bakal bertanding atas tiket parti lain

KOTA BHARU: Penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun atas tiket parti lain.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan hanya memikirkan tindakan lanjut selepas disahkan tidak dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) di Parlimen Ketereh.

“Katalah saya tidak dipilih menjadi calon, saya tidak boleh mengamuk dan marah. Namun perjalanan politik saya masa itu saya akan duduk serta fikirkan kalau buat sekian-sekian apa jadi. Saya akan fikir dengan jiwa yang tenang tanpa terburu-buru.

“Pilihan itu banyak. Sekarang kalau tidak duduk dalam parti kerajaan pun, di luar pun ada parti lain juga parti kerajaan. Ini kerana senario politik nasional sudah berubah.

“PAS pun parti kerajaan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pun parti kerajaan. Semua di bawah Perdana Menteri yang sama. Tepuk dada tanya selera,” katanya dalam BH Online ini.

Annuar bagaimanapun berkata, sebarang keputusan diambil perlu merujuk jentera UMNO Bahagian Ketereh.

“Kita mempunyai lebih 4,000 jentera akar umbi yang sedang bekerja keras, kena tanya mereka selain bertanyakan rakyat,” katanya.

Pada masa sama ketika ditanya sama ada beliau dilamar oleh parti lain untuk menjadi calon, Annuar berkata beliau masih milik UMNO.

“Mana boleh parti lain buat tawaran, saya masih ahli Parlimen BN. Jangan masih lagi isteri orang dah ada yang melamar,” katanya.

Sebelum ini ada khabar angin mendakwa Menteri Wilayah yang juga bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Shahidan Kassim, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Adham Baba dan Annuar sebagai antara nama yang tidak dicalonkan semula oleh UMNO dalam PRU15.