Anggota perkhidmatan awam diingatkan beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat – Hajiji

KOTA KINABALU : Semua kakitangan perkhidmatan awam diingatkan memastikan agar tadbir urus yang baik dalam sistem kawalan dokumen kerajaan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ini penting berikutan pengawalan dokumen kerajaan adalah elemen asas bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti, dan kecekapan dalam menguruskan dokumen rasmi kerajaan, rekod, dan maklumat.

Menururnya, semua dokumen rasmi kerajaan mesti diuruskan selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Perintah Keselamatan.

“Kita minta agar semua kakitangan awam yang mempunyai akses kepada dokumen kerajaan, terutamanya dokumen yang diklasifikasikan, perlu sentiasa peka dan memastikan keselamatan dokumen bagi mengelakkan kebocoran maklumat kerajaan.

“Ini kerana peringatan dibuat berikutan terdapat beberapa kes dokumen kerajaan yang diklasifikasikan telah bocor,” katanya di sini semalam.

Hajiji berkata, turut memberi amaran tindakan akan diambil segera terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua penjawat awam untuk melaksanakan tanggungjawab dan peranan dengan sepenuh komitmen, mematuhi prinsip integriti dan akauntabiliti.

“Dalam masa sama sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Penjawat awam perlu sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan, dasar, dan garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan,” jelas Hajiji.

Menurutnya, penjawat awam sebagai ‘teras’ pentadbiran kerajaan negeri harus mengekalkan etika kerja, profesionalisme, tingkah laku serta kerahsiaan untuk memperbaiki imej kerajaan dan kepercayaan rakyat.