Anggota penguatkuasa PBT disaran tingkatkan integriti, telus serta bertanggungjawab – Joachim

KOTA KINABALU : Anggota penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran agar mengamalkan integriti, ketelusan serta bertanggungjawab dalam menjalankan tugas seharian mereka.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, apabila masyarakat melihat kehadiran pihak penguatkuasa  terlintas difikiran mereka adalah pematuhan undang-undang dan peraturan. 

“Kehadiran yang dirasai ini penting bagi memastikan penguatkuasa PBT Sabah dihormati dalam melaksanakan amanah mereka.

“Semua PBT harus berani dalam menjalankan tanggungjawab mereka tanpa menyalahgunakan kuasa, menanamkan sikap amanah, jujur dan integriti dalam setiap tugasan yang dilaksanakan,” katanya di sini semalam.

Joachim berkata, beliau berharap persidangan ini akan dapat memberikan ilmu pengetahuan mendalam kepada penguatkuasa PBT Sabah.

“Ini agar mereka sentiasa melaksanakan tugas selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dan hala tuju kementerian.

“Persidangan ini merupakan satu usaha untuk memperbaharui penguatkuasaan PBT dari segi keberkesanan, kecekapan dan ketelusan, sejajar dengan keperluan masyarakat yang sentiasa berubah,” jelas Joachim.

Menurutnya, pembaharuan dalam kalangan penguatkuasa PBT Sabah termasuk aspek ketelusan dan akauntabiliti, penggunaan teknologi atau IT dalam pelaksanaan tugas.

“Ini merupakan pendekatan berasaskan komuniti, peningkatan pengetahuan serta kredibiliti melalui latihan, serta penekanan terhadap prinsip pembangunan mampan.

“Pembaharuan ini penting untuk memastikan sistem penguatkuasaan yang relevan dan efektif dalam menangani cabaran-cabaran baharu yang dihadapi oleh masyarakat,” kata Joachim.