KOTA KINABALU : Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah mengalu-alukan serta menyambut baik pelantikan anak kelahiran Sabah sebagai Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Malaysia.
Pengerusinya, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, Amir merupakan anak Sabah pertama yang dilantik ke jawatan tertinggi dalam LPP Malaysia.
“Saya mengenali beliau sejak tahun 1993 ketika LPP ditubuh di Sabah dengan Pengarah pertama Mohd Safian Mohd Hussin.
“Masa itu beliau menunjukkan sikap sebagai seorang pegawai muda yang mempunyai kepimpinan yang baik, sangat menghormati semua orang, rendah diri, suka bergaul, suka menolong.
“Beliau sentiasa tidak lokek berkongsi tentang peranan LPP sebagai agensi kerajaan yang mendaftar, membuat pengawasan dan pengawalan semua perjalan Pertubuhan Peladang di peringkat kawasan, negeri dan kebangsaan (PP),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nazri berkata, beliau merupakan satu-satunya Ketua Pengarah LPP Malaysia yang tidak pernah menjadi Pengarah LPP di mana-mana negeri di Malaysia.
“Ini mencerminkan ketokohan dan kepimpinan beliau yang baik sehingga boleh mencapai ke jawatan Ketua Pengarah.
“Kita penuh yakin, Amir boleh membantu Kerajaan Perpaduan Madani dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjayakan misi membantu rakyat kearah meningkatkan pendapatan dalam sektor makanan serta menjadikan Malaysia lebih cermerlang ke arah berpandapatan tinggi,” jelas Mohd Nazri.