Labuan catat 23 kes denggi kumulatif sejak Januari lalu

LABUAN : Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan sebanyak 23 kes denggi kumulatif sejak Januari tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran) Perbadanan Labuan, Ibrahim Tambi berkata, Kampung Patau-Patau Satu merupakan lokaliti yang masih aktif dengan mencatatkan 9 kes denggi.

Katanya, aktiviti penguatkuasaan giat dijalankan dilokaliti tersebut manakala sebanyak lima kompaun dikeluarkan melibatkan denda RM500 setiap kompaun.

“Kita menyeru masyarakat setempat sentiasa peka serta meningkatkan kesedaran tinggi berkaitan kepentingan mengekalkan persekitaran bagi mencegah nyamuk aedes daripada membiak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan sempena Hari Denggi Asean, di sini semalam.

Ibrahim berkata, Hari Denggi Asean pertama kali diadakan pada 2011 berikutan Program Resolusi Asean oleh Menteri Menteri Kesihatan Asean pada tahun 2010.

“Secara keseluruhan, Hari Denggi Asean memainkan peranan penting dalam menggalakkan kesedaran masyarakat dan menggerakkan usaha kolektif untuk memerangi demam denggi di rantau Asean termasuk di Malaysia,” jelas Ibrahim.