Pergerakan Pemuda elak jadi ‘Batang Kayu’ – Masiung Banah

TUARAN : Pimpinan Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat jangan jadi ‘batang kayu’ ketika parti berdepan dengan pelbagai serangan serta cemuhan daripada parti pembangkang.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, pemuda merupakan perisai dibarisan hadapan sekali gus berusaha untuk mempertahankan parti daripada pelbagai serang melanda ketika ini.

Katanya, beliau mencabar pemimpin Pergerakan Pemuda parti itu bangkit mempertahankan maruah Gagasan Rakyat yang menjadi bahan provakasi pembangkang.

“Pemimpin muda sewajarnya tangkas mempertahankan maruah Presiden serta parti yang kini diserang dengan pelbagai fitnah oleh parti pembangkang melalui pelbagi platform media sosial.

“Kita mahu ketua-ketua pemuda Gagasan Rakyat mencontohi kepimpinan Nabi Muhammad SAW ketika mengetuai pejuang Islam menentang tentera Quarisy dalam perang Badar.

“Ketika itu, bilangan pejuang Islam hanya 313 orang namun berjaya menewaskan 1,000 tentera Quraisy yang lengkap bersenjata memakai perisai dan 600 kuda perang ketika pertampuran di bulan Ramadan,” katanya di sini semalam.

Masiung merupakan Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB), berkata kunci kemenangan pejuang Islam pada perang Badar apabila semua pejuang patuh kepada setiap arahan ketua mereka Nabi Muhammad SAW.

“Kita turut mengingatkan agar pemimpin pemuda Gagasan Rakyat supaya jangan leka dalam perjuangan tanpa mematuhi arahan Presiden sebagai ketua parti.

“Sikap leka dan tidak mematuhi arahan ketua parti jelas terbukti mengundang kekalahan dalam setiap perjuangan seperti kisah yang berlaku dalam perang Uhud,” jelas Masiung.

Menurutnya, semasa perang Uhud sebagai medan balas dendam kaum Quraisy, pejuang Islam akhirnya tewas dengan strategi perang saraf yang dimainkan tentera Quarisy.

“Sehingga kini Bukit Uhud yang masih terseragam di pinggir kota Mekah ketika ini harus menjadi teladan kepada setiap Ketua-ketua Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat yang berdepan dengan cabaran politik,” kata Masiung.