Ambil Tindakan Lebih Kukuh Supaya Waris Sulu Hentikan Serta-Merta – Christoper

KOTA KINABALU: Kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan lebih kukuh demi memastikan pihak yang mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu menghentikan serta merta usaha mereka.

Ketua EXCO Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Pusat, Christoper Mandut berkata, tindakan relevan diperlukan supaya Kerajaan Filipina memberitahu rakyatnya sendiri di Filipina untuk melupakan tuntutan khayalan mereka terhadap Sabah. 

Beliau juga sependapat dengan apa yang disuarakan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee bahawa Kerajaan Malaysia mesti melakukan yang terbaik dalam mendapatkan kesediaan Kerajaan Filipina untuk menubuhkan sebuah konsulat di Sabah. 

“Adalah perlu sebagai susulan kepada kejayaan Malaysia mengatasi cubaan oleh pihak yang mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu itu.

“Kita monyokong kenyataan Yong yang mengatakan bahawa Sabah tidak pernah dimiliki atau diperintah oleh Sulu atau Filipina pada bila-bila masa dalam sejarah Sulu atau Filipina. 

“Memang benar bahawa pemberian yang dipanggil 22 Januari 1878 itu sendiri terbatal oleh pemberian sebelumnya antara Brunei dan Overbeck/Dent pada 29 Disember 1877,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christoper berkata, kejayaan Malaysia yang membawa kelegaan kepada rakyat terutamanya di Sabah harus disusuli dengan tindakan lebih berani dan efektif oleh Kerajaan Malaysia.

Beliau juga menyokong kenyataan Yong yang menyatakan tidak ada keperluan sama sekali untuk membawa tuntutan Filipina/Sulu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana Malaysia telah berjaya mengalahkan percubaan Filipina untuk membawa tuntutan mereka kepada ICJ melalui kes Pulau Ligitan/Sipadan pada tahun 2001.

“Saya juga bersetuju dengan Yong bahawa terdapat banyak bukti dokumentari yang menunjukkan bahawa kesultanan Sulu yang kini tidak berfungsi mahupun Republik Filipina tidak pernah memerintah mana-mana bahagian Borneo Utara (kini Sabah).

“Kerajaan Malaysia mesti menunjukkan kepada rakyat Filipina/Sulu bahawa ia juga demi kepentingan mereka sendiri untuk menghentikan tingkah laku sia-sia mereka menuntut Sabah,” katanya.

“Kita berharap hubungan baik kejiranan dalam suasana menang-menang antara Malaysia Sabah dan Filipina Bangsamoro makmur bersama dengan aman,” katanya.

Beliau juga berharap rakyat Filipina yang tinggal di Sabah mendapat perkhidmatan konsulat yang sangat diperlukan mereka.