Akibat Putus Tunang Motif Wanita Ditikam Hingga Mati – Polis

KOTA KINABALU: Berang kerana tidak puas hati ikatan pertunangan diputuskan dipercayai menjadi motif seorang lelaki menikam bekas tunangnya sehingga mati di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu di sini semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa berusia 21 tahun ditemui terbaring dengan beberapa kesan tikaman pada badan.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris, berkata siasatan awal mendapati mangsa memutuskan pertunangan dengan suspek yang berusia 33 tahun, dua hari sebelum kejadian atas alasan peribadi.

Katanya, suspek bagaimanapun sering mengganggu mangsa sehingga mencarinya di tempat kerja kerana tidak puas hati dan mendesak agak hubungan disambung semula.

“Ketika kejadian, mangsa yang juga pembantu kedai aiskrim sedang bekerja seorang diri sebelum didatangi suspek yang dikenalinya selama setahun.

“Suspek dikatakan memujuk mangsa, namun mangsa tidak mahu menerima semula bekas tunangnya itu, menyebabkan suspek mendekati mangsa dan menikam mangsa beberapa kali sehingga mangsa rebah,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Kalsom berkata, mangsa dikatakan sempat menjerit meminta tolong dan didengari anggota keselamatan yang bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, saksi melihat mangsa terlantar di lantai dan suspek berdiri di sebelah mangsa sambil memegang sesuatu serta berlumuran darah.

“Pihak keselamatan kemudian menghubungi polis dan suspek yang juga warga tempatan kemudian berjaya ditangkap di lokasi,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dengan tertangkapnya suspek, kes dianggap selesai dan pihaknya sedang melengkapkan siasatan sebelum tindakan pendakwaan diambil.