SANDAKAN: Ahli UMNO Sabah agar dingatkan agar menghayati perjuangan parti, bukannya menjadi gunting dalam lipatan sehingga menggadai maruah untuk kepentingan diri sendiri.
Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata sikap buruk segelintir pihak yang suka mengeruh keadaan, mengadu domba dan menghasut orang ramai boleh memusnahkan masa depan anak muda serta merosakkan parti UMNO itu sendiri.
“Perjuangan UMNO penuh dengan cabaran tetapi sedikit pun tidak pernah melunturkan semangat perjuangan ahli-ahli yang setia kepada parti UMNO.
“Bagaimanapun, jangan pula ada dikalangan kita menjadi gunting dalam lipatan sehingga sanggup merosakkan parti untuk kepentingan diri,” katanya.
Suhaimi merupakan Ahli Parlimen Libaran berkata, UMNO Sabah tidak menolak kemungkinan ada musuh di dalam parti kerana dalam berpolitik ini ada musuh luar dan juga musuh dalam parti sendiri.
“Kita sebagai ahli-ahli UMNO perlu memahami asas perjuangan, bukannya menyokong atas kepentingan peribadi. Jangan ada menjadi pengkhianat kepada parti UMNO yang banyak jasa untuk negeri Sabah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua ahli UMNO akar umbi supaya kekalkan perpaduan dan kesatuan perlu diperkukuh walaupun berbagai cabaran dilalui.
Dalam masa yang sama, Suhaimi berkata semua pemimpin UMNO di peringkat bahagian agar sentiasa mendekati dan membantu rakyat seperti telah diamanatkan oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah.
Ketua UMNO Bahagian Libaran menjelaskan sebagai pemimpin diperingkat bahagian kita perlu jadikan aktiviti turun padang dan dekati rakyat sebagai amalan berterusan bukannya secara bermusim bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan terbaik dan masalah mereka hadapi dapat diselesaikan.