KOTA KINABALU: Kejadian kes cabul pelancong di Semporna dilihat boleh menjejaskan industri sektor pelancongan di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, kes melibatkan salah seorang pelancong wanita warganegara Republik Rakyat China ketika aktiviti selam skuba di salah satu destinasi pelancongan di Semporna sangat mengecewakan.
Katanya, kementeriannya kesal dengan insiden berkenaan sekali gus menggesa agar semua ejen pelancongan memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti.
“Selain itu, ejen pelancongan juga perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan insiden seperti ini tidak berulang lagi.
“Kejadian seperti ini amat menjejaskan imej pelancongan di Semporna khususnya dan Sabah amnya, lebih-lebih lagi industri pelancongan kembali rancak selepas terkesan dengan pandemic COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Christina berkata, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) terkejut terhadap kejadian cabul yang berlaku pada 5 Mei 2023 jam 1 petang semasa aktiviti menyelam di salah satu kawasan perairan pusat selaman di Semporna.
Bagaimanapun katanya, insiden berkenaan berlaku di luar kawasan Taman Pulau Sipadan dan Taman Marin Tun Sakaran yang berada dibawah pengurusan pihak Taman-Taman Sabah.
“Mangsa yang berumur 24 tahun adalah seorang wanita warganegara Republik Rakyat China telah membuat aduan tersebut di Ibu pejabat Polis Daerah Semporna 6 Mei 2023.
“Beliau mendakwa suspek iaitu seorang pembantu jurulatih selam skuba (Divemaster) telah mencium pipi beliau semasa aktiviti selam skuba.
“Suspek kemudian telah pun ditahan oleh pihak polis dan direman selama empat hari,” katanya.