KOTA KINABALU: Ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menyokong idea penubuhan kaukus Borneo untuk bekerjasama dari segi politik dan mempunyai satu suara untuk menyokong dan mengukuhkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan bakal Perdana Menteri.
Bercakap selepas taklimat khas kepada Ahli-ahli Parlimen Borneo di luar persidangan Parlimen di Kuala Lumpur hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, ini adalah antara isu yang dibangkitkan, selain perkara berkaitan cadangan mengembalikan peruntukan 35 peratus kerusi parlimen kepada Malaysia Timur.
“Ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menyokong penuh idea bahawa kita harus mempunyai suara yang sama untuk menjaga dan melaksanakan prinsip dan asas MA63 dan menyatakan siapa yang patut menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Dr. Maximus juga menegaskan, Ahli-ahli Parlimen Borneo juga menyentuh kemungkinan untuk menginstitusikan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak untuk menawarkan rangka kerja tetap untuk melaksanakan semua kerjanya, serta pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk meneruskan cadangan Majlis Khas mengenai MA63 (MKMA63) yang telah dipersetujui sepenuhnya oleh Kabinet dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kami berpuas hati dengan reaksi dan maklum balas yang kami terima daripada para Ahli Parlimen yang datang daripada blok kerajaan dan pembangkang. Ia adalah sesi interaktif.
“Langkah seterusnya ialah menjadikan ia satu kerjasama politik yang rasmi dan potensi hubungan kerja di kalangan parti-parti Borneo.
“Isu yang dibangkitkan adalah kepentingan umum dan dekat di hati kami. Ini adalah permulaan dan sejarah dalam pembikinan… Ahli-ahli Parlimen Borneo mahu membuat perubahan mengenai hala tuju dan fokus politik negara Malaysia,” katanya.