Agensi berkaitan disaran mengatasi masalah parit tersumbat, selesai masalah banjir – Hajiji

PENAMPANG : Kerajaan mengesa agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama Jabatan Pengairan dan Salinan Sabah (JPS) untuk menyelesaikan masalah parit tersumbat mengatasi masalah banjir di masa depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, selain itu agensi terbabit perlu memikirkan bagaimana cara untuk mengatasi masalah parit tersumbat sekali gus memastikan beberapa daerah lain bebas masalah banjir.

“Kita minta agensi ini mengambil tindakan drastik, bukan hanya terdapat di sekitar kawasan Dongongan Penampang malah di daerah-daerah lain juga perlu diberikan keutamaan.

“Ketika ini, kita sudah menghadapi musim hujan, jangan sudah hujan baru bersihkan parit, jadi bersihkan sekarang, supaya banjir kilat ini dapat kita atasi di peringkat awal,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir Pusat Penempatan Sementara (PPS), di Penampang di sini hari ini.

Hajiji berkata, agensi lain termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama Pejabat Daerah menjalankan pemeriksaan di lokasi yang dikenalpasti menjadi punca banjir serta beberapa kawasan yang mengundang masalah banjir di seluruh negeri ini.

“Masalahnya kalau hujan terlalu lebat, maka itu di luar kawalan kita, tetapi kita kena bersiap sedia,  semua agensi yang berkaitan perlu bersiap sedia untuk membantu mereka yang terjejas banjir.

“Di peringkat kerajaan negeri dan persekutuan, kita sangat bersimpati kepada mangsa-mangsa banjir ini, kita tidak akan biarkan mangsa banjir bersendirian kita akan membantu untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir ini,” jelas Hajiji.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkesempatan meluangkan masa melawat Pusat Penempatan Sementara (PPS) Penampang menempatkan seramai 165 mangsa banjir direkodkan setakat tengahari di sini hari ini.

Beliau kemudiannya melawat beberapa kampung terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat berterusan melanda daerah ini sejak petang semalam sekali gus menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada setiap mangsa banjir dipindahkan ke PPS.

“Kerajaan negeri begitu prihatin serta bersimpati kepada mangsa-mangsa banjir ini, kita bersedia membantu mereka sambil meyalurkan bantuan RM1,000 setiap ketua isi rumah.

“Selain itu kita akan membantu mereka yang mengalami kerosakan akibat banjir terutamanya kelengkapan tempat memasak di rumah mereka dalam tempoh terdekat,” tambah Hajiji.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.