PENAMPANG : Mayat seorang wanita yang dilaporkan dihanyut arus deras ketika meredah banjir ditemui berhampiran Jalan Penampang Bypass pagi tadi.
Ketua Polis Penampang, Supt Sammy Newton berkata, mayat wanita berusia 37 tahun itu dijumpai pada jam 8 pagi tadi.
“Maklumat lanjut akan diumumkan kemudian. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, mayat wanita tersebut ditemui kira-kira 400m dari lokasi terakhir dia dilihat bersama suaminya malam tadi sebelum dihanyutkan arus banjir.
Sehingga pagi ini, seramai 112 mangsa banjir daripada 40 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Kebudayaan Penampang.
Banjir tersebut berlaku akibat hujan lebat yang melanda dari petang hingga malam semalam.
