Agak mengecewakan penyelenggaraan tandas sekolah di dibuat ala kadar – Andi Muhammad

KOTA KINABALU : Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) menyelenggara tandas sekolah di seluruh negara.

Bagaimanapun, beliau berharap agar pihak yang berkenaan memantau para kontraktor yang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan tandas sekolah-sekolah agar ia dilakukan yang baik dan bukan secara ala kadar.

Beliau berasa agak kecewa dan sedih dengan perbezaan tandas-tandas yang diselenggarakan di sekolah-sekolah yang dibuat secara ala kadar, jika dibandingkan di tempat-tempat lain.

“Saya menerima laporan bahawa ada penyelenggaraan tandas sekolah-sekolah dibuat secara ala kadar, jika dibandingkan dengan tandas yg diviralkan di sekolah-sekolah tempat lain. Ini agak mengecewakan dan menyedihkan kerana penyelenggaraan tidak dilakukan selaras dengan hasrat dan niat murni Kerajaan.

“Dengan bajet yang diperuntukkan iaitu RM70,000 untuk setiap sekolah bagi penyelenggaraan tandas, ia sepatutnya boleh dibuat dengan lebih baik,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan menyeru pihak Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) agar turut memantau pelaksanaan penyelenggaraan tandas sekolah yang dibuat supaya ianya dilakukan dengan lebih baik demi keselesaan semua pelajar.

Pada Julai lalu, KPM memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah untuk menyelesaikan kerja penyelenggaraan tandas sekolah demi keselesaan pelajar.

Menteri, Fadhlina Sidek, berkata ketika itu pihaknya dalam proses mengagihkan peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah di seluruh negara.

“Kita akan berikan peruntukan penyelenggaraan kepada semua sekolah di bawah KPM akan menerima kira-kira RM70,000 untuk penyelenggaraan.

“Kami hanya beri tiga bulan sahaja untuk semua sekolah melaksanakan program ini dan mahu melihat hasil dan impak kepada (kerja) menaik taraf tandas sekolah,” kata Fadhlina.