KOTA KINABALU: Warisan Bahagian Sipitang menafikan kononnya ‘Tindakan Melompat’ melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob mendapat persetujuan dalam kalangan semua ahlinya.
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan (WARISAN), Abd Aziz Taip berkata, majoriti Ahli Jawatankuasa Bahagian termasuk Wanita, Wira serta Wirawati Sipitang tidak bersetuju keputusannya keluar parti serta menjadi ADUN Bebas, kini menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Katanya, apa yang sebenarnya berlaku adalah hanya separuh Ahli Jawatankuasa Bahagian bersetuju mengikut langkahnya keluar parti manakala Wanita, Wira dan Wirawati tidak bersetuju kecuali Pemangku Ketua Wanita.
“Dakwaan Dr Yusof Yacob majoriti AJK Bahagian, Wanita, Wira dan Wirawati Warisan Bahagian Sipitang bersetuju dengan tindakan beliau lompat parti adalah satu pembohongan besar, sekali gus hanya ingin mengelirukan pengundi khususnya di DUN Sindumin dan Parlimen Sipitang.
“Saya ingin merujuk ucapannya semasa membahaskan Rang Undang-Undang RUU Anti Lompat di DUN Sabah semalam seperti berikut….Sebelum saya (Dr Yusof) keluar parti, saya buat consultation kepada pengundi saya, kepada pemimpin AJK Bahagian saya meminta pandangan dan majoriti bersetuju. Cuma ada satu dua kerat sahaja tidak bersetuju.
“Ternyata kenyataan beliau ini menipu serta berbohong di Dun Sabah semalam. Untuk rekod, Datuk Dr Yusof Yacob adalah Ketua Bahagian Warisan Sipitang bermula 2019 sehingga 2021. Selepas itu jawatannya dipangku Timbalan Ketua Bahagian Mahadi Mumin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Abd Aziz merupakan Ketua Bahagian Warisan Sipitang berkata, pihaknya memandang serius dakwaan ADUN Sindumin ini sekali gus dilihat sangat mengelirukan ketika dibuat di dalam DUN Sabah malam tadi.
“Kita nasihatkan agar ADUN Sindumin fokus menumpukan kepada tugasnya selaku wakil rakyat yang menang atas tiket Warisan sekali gus dapat mengotakan janjinya melompat parti adalah memastikan kesinambungan pembangunan dan demi rakyat diwakilinya,” katanya.