BELURAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Samad Jambri, menggesa Kementerian Kerja Raya di peringkat negeri dan Persekutuan segera menaik taraf jalan dari simpang Beluran ke Pekan Beluran yang didakwa semakin rosak dan membahayakan pengguna.
Beliau berkata, laluan berkenaan adalah antara jalan utama yang digunakan orang ramai, namun keadaannya ketika ini sangat tidak selesa dan sering menerima rungutan masyarakat.
“Jalan ke Pekan Beluran merupakan antara laluan utama ketika ini, namun kita lihat keadaannya sangat tidak selesa untuk dilalui dan sering menjadi keluhan pengguna,” katanya.
Menurut Samad, jalan berkenaan memerlukan sama ada pembaikan segera atau penaiktarafan penuh memandangkan tahap kerosakannya yang semakin serius.
“Sudah sampai masanya sama ada Kementerian Kerja Raya ataupun melalui Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah serta Jabatan Kerja Raya Persekutuan mengambil maklum tentang keperluan ini,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penutupan Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) Peringkat Negeri Sabah, Rabu lalu.
Beliau berkata, sebagai wakil rakyat di kawasan itu, beliau sendiri turut menerima banyak maklum balas daripada pengguna yang terkesan dengan keadaan jalan tersebut.
Katanya, faktor keselamatan dan keselesaan pengguna perlu diberi keutamaan sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
Jalan sepanjang 27.22km itu ialah laluan negeri yang menghubungkan Lebuhraya Pan Borneo ke Pekan Beluran dan kini dilaporkan mengalami kerosakan teruk sehingga memerlukan pemanduan secara lebih berhati-hati.
