KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) kehilangan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) apabila Rina Jainal meninggalkan parti itu hari ini.
ADUN Kukusan itu mengumumkan keputusannya untuk keluar WARISAN pada sidang media yang diadakan di Hotel Hilton di sini sebentar tadi.
Rina memenangi kerusi tersebut dengan memperolehi 2,834 undi, majoriti 10 undi, mengalahkan pencabar terdekat Chaya Sulaiman (Barisan Nasional), pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16).
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah turut hadir untuk menerima kemasukan Rina ke dalam parti pro Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) itu.
Kemasukan Rina memberikan suatu harapan baharu kepada Harapan Rakyat yang sebelum ini tidak memiliki kerusi DUN.
Rina merupakan ADUN terbaru yang meninggalkan WARISAN selepas ADUN Sebatik, Hassan Ghani, ADUN Segama dan Ahli Parlimen Segama, Datuk Mohamadin Ketapi, ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob, ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim.
Hassan dan Mohamaddin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), manakala Dr. Yusof dalam proces menyertai UMNO (BN).
Peter dan Juil pula menubuhkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang juga pro Kerajaan GRS-BN di mana Peter sebagai Presiden dan Juil, Timbalan Presiden.
Akibatnya, WARISAN kini tinggal kurang daripada 20 kerusi DUN, daripada jumlah keseluruhan 78 kerusi