PENAMPANG: Kerajaan Sabah akan terus menuntut pelaksanaan penuh pemberian 40 peratus hasil Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu menerusi rundingan kerajaan dengan kerajaan (G to G) bersama Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, hak tersebut merupakan antara perkara utama yang terus diperjuangkan kerajaan negeri kerana diperuntukkan menerusi Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menegaskan bahawa hak berkenaan mesti ditunaikan Kerajaan Persekutuan dan pendirian Sabah akan terus dibawa dalam rundingan, termasuk menerusi Jawatankuasa Teknikal MA63.
Hajiji berkata, sebanyak 13 tuntutan berkaitan MA63 telah dilaksanakan setakat ini, termasuk berkaitan kawal selia tenaga, pelesenan dan penangkapan laut dalam, tenaga buruh serta alam sekitar.
Menurutnya, sementara pelaksanaan penuh tuntutan 40 peratus belum dicapai, Sabah menerima pemberian interim yang meningkat daripada RM26 juta sebelum ini kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini.
Beliau berkata kerajaan negeri mengalu-alukan peningkatan pemberian interim itu dan akan menggunakan hasil berkenaan untuk pembangunan jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik serta pelaksanaan program kebajikan rakyat.
Bagaimanapun, Hajiji menegaskan kerajaan Sabah akan terus berunding dengan Putrajaya sehingga hak pemberian 40 peratus itu dilaksanakan sepenuhnya.
