PENAMPANG: Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyifatkan penyertaan UPKO dalam gabungan itu sebagai perkembangan positif yang akan memperkukuh kestabilan politik serta kerjasama antara parti tempatan di Sabah.
Menurut Hajiji, Majlis Tertinggi GRS telah membuat keputusan menerima permohonan UPKO pada 8 Jun lalu, sekali gus membawa parti pimpinan Ewon Benedick itu ke dalam gabungan berkenaan.
“Sebenarnya, apabila kita menerima permohonan daripada UPKO untuk menyertai GRS, kita melihat itu sebagai satu petanda positif dalam perkembangan politik di Sabah dan kita menerimanya dengan hati yang terbuka,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada sambutan Ulang Tahun UPKO ke-32 dan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang.
Kemasukan UPKO menambah satu lagi parti tempatan dalam GRS ketika politik Sabah semakin tertumpu kepada kekuatan parti dan gabungan berasaskan negeri. Bagi Hajiji, kerjasama itu penting bukan sekadar dari sudut politik, tetapi bagi memastikan kerajaan mempunyai kestabilan untuk meneruskan agenda pembangunan.
Beliau turut mengajak UPKO bersama parti komponen lain menjayakan wawasan “Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper”, sambil menekankan perlunya perpaduan dalam GRS dipertahankan walaupun setiap parti mempunyai latar belakang perjuangan berbeza.
Hajiji turut menghargai sokongan Ewon sepanjang pentadbirannya dan berkata peranan presiden UPKO itu sebagai Timbalan Ketua Menteri III membawa tanggungjawab dalam agenda pelaburan, perindustrian dan keusahawanan negeri menerusi SMJ 2.0.
“GRS ini adalah rumah kita, rumah yang harus kita jaga bersama,” kata Hajiji sambil menyeru parti komponen memperkukuh kerjasama bagi memastikan kestabilan politik menjadi asas kepada pembangunan Sabah.
