KOTA KINABALU: Penutupan Jambatan Jalan Tun Fuad Stephen sejak 31 Julai lalu akibat kerosakan struktur mula memberi kesan ketara kepada pergerakan harian warga Kota Kinabalu apabila ramai pengguna jalan raya mengadu berdepan kesesakan luar biasa terutama pada waktu puncak.
Situasi itu turut mencetuskan pandangan dalam kalangan pengguna media sosial bahawa permintaan terhadap perkhidmatan Bas Pink dijangka meningkat sebagai alternatif kepada penggunaan kenderaan persendirian.
Pengguna Threads dikenali sebagai Noi Ang berkata beliau sudah tidak lagi sanggup memandu setiap hari kerana tekanan akibat kesesakan yang berlarutan.
Menurutnya, walaupun keluar rumah lebih awal daripada kebiasaan, beliau masih terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sebelum tiba ke destinasi.
Seorang lagi pengguna Threads, Finaamiinlol, berkata beliau bertolak dari Sepanggar seawal jam 6.50 pagi, namun sehingga jam 8 pagi masih belum tiba di KK Sentral.
Beliau turut meluahkan kesukaran memandu kereta transmisi manual dalam keadaan trafik yang bergerak perlahan sebelum perlu berjalan kaki ke tempat kerja.
Rata-rata pengguna media sosial berharap lebih banyak inisiatif pengangkutan awam dapat dipertingkatkan bagi mengurangkan kesesakan sepanjang tempoh penutupan jambatan.
