Tamu Kota Belud berpotensi jadi Tapak Warisan Dunia UNESCO

KOTA KINABALU: Tamu Kota Belud mempunyai potensi untuk dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal.

Beliau berkata, bagaimanapun proses pencalonan itu memerlukan kajian terperinci, pendokumentasian serta memenuhi syarat yang ditetapkan UNESCO termasuk kriteria Outstanding Universal Value (OUV).

Menurutnya, Kota Belud kini merupakan sebahagian daripada Kinabalu UNESCO Global Geopark sejak tahun 2023 dan pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pemuliharaan warisan budaya.