TONGOD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah merayu agar projek jalan raya menghubungkan Kampung Kenang-Kenangan ke Desa Permai disenaraikan semula dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi mengatasi kesukaran yang dihadapi lebih 2,500 penduduk Mukim Kuamut.
Beliau berkata, projek sepanjang 50 kilometer yang dianggarkan bernilai RM350 juta itu amat penting kerana penduduk di kawasan berkenaan masih bergantung kepada laluan sungai untuk mendapatkan akses kepada kemudahan asas seperti hospital, sekolah dan pusat ekonomi.
Menurutnya, perjalanan menggunakan bot mengambil masa antara lima hingga tujuh jam dengan kos tambang mencecah RM700 bagi satu perjalanan.
“Keadaan ini bukan sahaja membebankan rakyat dari segi kos, malah menjejaskan urusan harian terutama ketika berdepan kecemasan perubatan.
“Jalan raya ini bukan sekadar projek pembangunan, tetapi talian hayat kepada ribuan penduduk yang telah lama menunggu kemudahan asas ini,” katanya.
Masiung berkata, rayuan rasmi telah dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah pada April lalu selepas projek itu tidak tersenarai dalam data RMK13 pada awal tahun ini.
Beliau berharap kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya demi meningkatkan taraf hidup penduduk pedalaman.
