KOTA KINABALU: Polis menahan tujuh pelajar sekolah menengah bagi membantu siasatan berhubung video tular memaparkan seorang pelajar perempuan dipukul sekumpulan remaja.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, semua suspek ditahan kira-kira jam 3 petang semalam membabitkan enam pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun.
Katanya, pelajar lelaki itu dipercayai bertindak merakam kejadian sebelum video berkenaan tersebar di media sosial.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi pada 22 Mei lalu apabila mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan oleh lima pelajar perempuan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, semua pelajar yang terlibat dipercayai saling mengenali dan berhubung menerusi satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai “Angel”.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
