LABUAN: Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Labuan atas pertuduhan membunuh bayi perempuan berusia dua bulan yang dipercayai anak kandungnya.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika prosiding di hadapan Majistret Dr Melissa Chia Pui Fung pada Isnin.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan, pihak polis menerima laporan daripada Hospital Labuan pada 9 Mei lalu kira-kira jam 2.40 pagi berhubung seorang bayi perempuan yang mengalami kecederaan serius sebelum disahkan meninggal dunia.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di kepala akibat trauma tumpul selain beberapa kesan patah tulang rusuk lama pada badan.
Siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bukit Kuda.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan sekiranya sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 23 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Seramai 22 saksi pendakwaan dijangka dipanggil memberi keterangan.
