Warga emas maut dalam kebakaran rumah

PAPAR: Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Kampung Seri Tanjung Pengalat Kecil, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.29 pagi itu, rumah jenis separuh kekal berkeluasan 40 x 60 kaki berkenaan musnah hampir 90 peratus.

Ketua operasi, PBK I Dahlan Jainudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran sedang marak dan segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada pili bomba berhampiran.

“Seorang mangsa wanita warga emas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan bilik mandi pada jam 7.57 pagi sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi berjaya dikawal pada jam 7.30 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.36 pagi.