ADUN Likas mahu siasatan segera dakwaan kilang tanpa permit

KOTA KINABALU: ADUN Likas, Tham Yun Fook meminta pihak berkuasa tempatan menyiasat dakwaan operasi sebuah kilang membuat bahan konkrit tanpa permit di atas tanah kerajaan berhampiran Pasificity, Likas.

Beliau berkata, aduan mengenai operasi kilang berkenaan telah dikemukakan kepada DBKK sejak beberapa bulan lalu, namun sehingga kini tiada penjelasan rasmi secara bertulis diterima.

Menurut beliau, lawatan ke lokasi dilakukan bersama pegawai khas, Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan, Chen Ket Chuin dan pengadu utama, Datuk Robert Foo bagi menilai sendiri keadaan sebenar di tapak.

Robert mendakwa operasi kilang itu bukan sahaja menimbulkan pencemaran udara, malah menjejaskan kesejahteraan penduduk sekitar.

Katanya, beliau turut merujuk kepada notis amaran yang dikeluarkan Jabatan Tanah dan Ukur bertarikh 4 Julai 2022 yang mengarahkan tapak berkenaan dikosongkan kerana berada di atas tanah kerajaan.