KOTA KINABALU: ADUN Kapayan Chin Tek Ming dan bekas calon Parti Warisan bagi Bangkoka, Fauziah Stephens membuat laporan polis susulan penyebaran “kad jemputan perkahwinan” palsu di TikTok yang didakwa berunsur fitnah dan penghinaan terhadap sensitiviti agama.
Dalam kenyataan bersama, mereka menyifatkan kandungan yang tular di media sosial itu sebagai palsu, berniat jahat dan bertujuan memalukan serta mencetuskan salah faham terhadap kedua-dua mereka.
Menurut kenyataan itu, gambaran kononnya satu majlis perkahwinan diadakan di gereja melibatkan Fauziah Stephens yang beragama Islam disifatkan sebagai provokatif dan tidak menghormati sensitiviti agama masyarakat majmuk di Malaysia.
“Kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah, provokasi agama atau kandungan palsu yang mencemarkan reputasi individu lain,” menurut kenyataan tersebut.
Mereka berkata laporan polis telah dibuat dan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan lanjut terhadap akaun TikTok yang terlibat.
Kedua-duanya turut memaklumkan bahawa mereka mempertimbangkan tindakan undang-undang sivil terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan kandungan fitnah berkenaan.
