Laporan polis dibuat susulan fitnah terhadap Munirah

KOTA KINABALU: Satu laporan polis dibuat susulan penyebaran berita palsu dan fitnah melibatkan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis menerusi akaun TikTok dikenali sebagai @cucumarajasakul.

Menurut kenyataan, tindakan itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap pemilik akaun berkenaan termasuk tindakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Penyebaran maklumat palsu seperti ini amat tidak bertanggungjawab dan diminta dihentikan segera,” menurut kenyataan tersebut.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat sahih dan membuat semakan sebelum menyebarkan sesuatu berita di media sosial.