KOTA MARUDU: Seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) rentung manakala abangnya melecur dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Torintidon, Jalan Kampung Lampada, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.23 pagi itu, rumah jenis tidak kekal berkeluasan 28 x 30 kaki persegi berkenaan musnah sepenuhnya.
Mangsa rentung berusia 16 tahun, manakala abang mangsa berusia 28 tahun cedera melecur ketika cuba menyelamatkan adiknya.
Ketua Balai BBP Kota Marudu, PPgB Debli Mamoi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum menggerakkan 10 anggota ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, rumah didapati sudah terbakar 100 peratus. Pasukan menjalankan operasi pemadaman dan overhaul menggunakan sumber air daripada paip penduduk kampung.
“Laluan ke lokasi juga sukar kerana tidak berturap menyebabkan jentera FRT hanya dapat bergerak sehingga berhampiran SK Lampada sebelum anggota meneruskan perjalanan menggunakan kenderaan Vigo,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang rentung diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera dihantar penduduk kampung ke Hospital Kota Marudu sebelum ketibaan bomba.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.53 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
