51 mangsa hilang tempat tinggal dalam kebakaran di Tawau

TAWAU: Seramai 51 mangsa daripada sembilan ketua isi rumah (KIR) hilang tempat tinggal selepas tiga rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan, Tawau.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kejadian itu perlu dijadikan pengajaran kepada masyarakat supaya lebih peka terhadap aspek keselamatan terutama melibatkan pendawaian elektrik dan pembinaan rumah yang terlalu rapat.

“Api ini bila kecil kawan, bila jadi besar ia menjadi lawan dan musibah kepada semua yang terlibat,” katanya ketika melawat lokasi kebakaran.

Beliau turut memuji tindakan awal bomba komuniti Kampung Titingan yang membantu mengawal kebakaran sebelum ketibaan pasukan bomba.

Menurutnya, penubuhan lebih banyak bomba komuniti di kawasan berisiko perlu diperluaskan bagi meningkatkan kesiapsiagaan penduduk.

Nizam turut memaklumkan cadangan penyediaan pili bomba di kawasan berisiko telah dibawa ke mesyuarat tindakan daerah untuk perhatian pihak berkaitan.

Dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan bantuan wang tunai dan barangan keperluan kepada mangsa terjejas.