TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar meninjau beberapa projek berkaitan pengairan sawah padi dan hakisan tebing sungai di kawasan Melalap pada Khamis.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, projek penstabilan tebing Sungai Pegalan berhampiran Pusat Kebudayaan Murut akan dilaksanakan tahun ini selepas menerima kelulusan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Menurut beliau, keadaan hakisan di kawasan terbabit semakin serius dan boleh menjejaskan kemudahan pelancongan serta tanah penduduk berhampiran.
“Kita akan memasang struktur penahan tebing menggunakan batu besar bagi mengelakkan hakisan terus berlaku,” katanya.
Beliau turut meninjau sistem pengairan sawah di Kampung Makakumpai dan Entabuan yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 160 hektar.
Katanya, seramai 62 petani di kawasan terbabit tidak dapat menanam padi sejak hampir 10 tahun lalu akibat masalah pam dan bekalan air.
Jamawi berkata, kerajaan akan terus membantu petani melalui pelbagai program bersama JPS dan Jabatan Pertanian bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi serta sosioekonomi rakyat.
