KPDN rampas diesel lebih RM54,000 di Tuaran

TUARAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tuaran merampas lebih 8,000 liter minyak diesel bernilai RM54,093.10 dalam serbuan di sebuah stor premis kuari di Kampung Kindu, Jalan Tuaran, hari ini.

Serbuan dilakukan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) hasil risikan selama tiga hari oleh pasukan penguat kuasa KPDN Tuaran.

Hasil pemeriksaan menemui minyak diesel disimpan dalam sebuah ‘skid tank’ di premis terbabit.

Siasatan awal mendapati premis berkenaan gagal mengemukakan lesen atau permit sah bagi penyimpanan barang kawalan berjadual.

Seorang pekerja premis turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ketua Cawangan KPDN Tuaran, Fredlee Sintau berkata pihaknya akan terus mempergiat Ops Tiris 4.0 bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di negeri ini.