KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggunakan kuasa di bawah Fasal 49.10 Perlembagaan Parti untuk menggantung enam ahli berkuat kuasa serta-merta.
Antara yang digantung termasuk Timbalan Presiden USNO, Datuk Ibrahim Linggam bersama lima lagi ahli iaitu Ahmad Kanajaan, Hussin Ibnu Hassan, Mohammad Hafeiz Hussin, Sazali Justi dan Sallehudin Kasau.
Menurut beliau, tindakan itu diambil sebagai langkah sementara sementara menunggu siasatan Lembaga Disiplin Pusat.
“Langkah ini penting bagi mengelakkan keadaan menjadi tidak terkawal serta memastikan kestabilan parti terus terpelihara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menggunakan Fasal 52.1 untuk melucutkan enam individu daripada jawatan Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET).
Mereka ialah Datu Abdul Lalih Abah, Dr Masjidin Datu Moksan, Dayang Norasiken Nonoi, Jamri Sabu, Rusulan Rahaban dan Datuk Edmund J. Doudilim.
Pandikar menegaskan tindakan itu dibuat bagi memastikan parti kekal stabil dan tidak terjejas oleh konflik dalaman.
