7 jam cemas, lelaki kurung isteri, anak ugut bunuh

TAWAU: Detik cemas selama tujuh jam berakhir dengan penahanan seorang lelaki yang mengamuk sambil mengurung isterinya bersama tiga anak di sebuah rumah di kawasan ladang di Kalabakan, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, suspek berusia 39 tahun dipercayai bertindak agresif dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek mengunci keluarganya di dalam rumah serta mengugut untuk membunuh sesiapa yang cuba masuk.

“Suspek turut membaling sabit ke arah individu yang cuba menenangkan keadaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau bersama anggota Balai Polis Kalabakan segera digerakkan ke lokasi.

“Polis mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk memujuk suspek yang agresif sebelum bertindak menyerbu masuk bagi menyelamatkan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, pasukan polis terpaksa menggunakan Taser Gun bagi melumpuhkan suspek sebelum berjaya menahannya kira-kira jam 10.30 pagi keesokan hari.

Katanya, pemeriksaan di lokasi menemukan beberapa senjata berbahaya termasuk parang, sabit dan paip besi.

“Turut dirampas dua bilah sabit, sebilah parang serta beberapa peralatan lain,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 342 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.