KUNAK: Politeknik Tawau Sabah (PTS) terus memperkukuh usaha melahirkan graduan berkemahiran tinggi menerusi penganjuran Program Outdoor Discovery Camp 2026 di Pusat Sejadi Madai Baturong, di sini.
Program selama tiga hari dua malam itu melibatkan 130 pelajar dan lima pensyarah dengan kerjasama Borneo Bayu Adventure serta Southeast Asia Rainforest Research Partnership (SEARRP).
Pengarah PTS, Tahir Leemat berkata, inisiatif itu selaras dengan keperluan industri pelancongan yang menuntut tenaga kerja berkemahiran praktikal selain pengetahuan teori.
“Pelaksanaan program berbentuk amali ini memberi nilai tambah kepada pelajar, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam sektor pelancongan dan rekreasi,” katanya.
Menurutnya, PTS yang menawarkan Diploma Pengurusan Pelancongan dan Diploma Pelancongan Rekreasi terus menjadi pilihan lepasan SPM dan sijil untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma.
Program itu merangkumi aktiviti seperti camping, hiking, trekking, birding serta tree climbing yang dikendalikan oleh pakar industri bagi memastikan standard keselamatan dan kualiti latihan terjamin.
Penyelaras kursus, Melly Elka Pit Lee berkata, program tersebut memberi peluang kepada pelajar menterjemahkan teori kepada pengalaman sebenar melalui penglibatan langsung di lapangan.
Ketua Unit Hal Ehwal Pelajar, Dr Alfian Thomas pula berkata, pendekatan holistik itu selari dengan aspirasi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) negara dalam membangunkan pelajar secara menyeluruh.
“Penyertaan pelajar dalam program ini turut disertakan sijil sebagai pengiktirafan pengalaman mereka dalam pengendalian aktiviti rekreasi,” katanya.
