KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang lagi suspek kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan kerja-kerja pembersihan bernilai kira-kira RM500,000.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu.
Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan penjawat awam dan juga pengarah syarikat kontraktor dipercayai bersubahat dengan seorang lagi suspek, iaitu pengarah syarikat pembinaan yang telah ditahan sebelum ini.
Kesalahan tersebut dipercayai melibatkan pengemukaan dokumen palsu bagi mendapatkan kontrak kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
