Dua penginapan atas air tanpa lesen dikompaun di Semporna

SEMPORNA: Dua penginapan atas air dikompaun selepas didapati beroperasi tanpa lesen sah dalam operasi pemeriksaan dijalankan pihak berkuasa tempatan.

Operasi bersepadu itu melibatkan Majlis Daerah Semporna dan Pejabat Daerah Semporna bagi memeriksa pematuhan lesen operasi penginapan di kawasan berkenaan.

Sebanyak enam premis diperiksa, dengan dua daripadanya didapati tidak mempunyai lesen operasi yang sah.

Selain itu, pemeriksaan turut mendapati premis terbabit melakukan penambahan struktur tanpa permit yang diluluskan.

Tindakan kompaun telah dikenakan terhadap pengusaha terlibat selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa.

Pihak berkuasa menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan bagi memastikan semua pengusaha mematuhi syarat lesen serta garis panduan ditetapkan.