Menu sihat bantu rakyat hadapi kos sara hidup, kukuh perpaduan

PUTATAN: Masyarakat disaran mempertingkat kreativiti dalam penyediaan menu sihat sebagai langkah menghadapi cabaran kos sara hidup serta isu keselamatan makanan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, penggunaan bahan tempatan seperti hasil laut dan sayur-sayuran bukan sahaja menjimatkan kos, malah menyokong ekonomi komuniti setempat.

Menurutnya, menu sihat tidak semestinya mahal, sebaliknya memerlukan perubahan cara pemikiran dalam memilih makanan harian.

“Dengan menggunakan bahan tempatan, kita bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan tetapi turut menggalakkan ekonomi kitaran dalam komuniti.

“Malah, apabila kita membeli daripada jiran berbeza kaum, di situlah perpaduan berlaku secara semula jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Menu Sihat Perpaduan Peringkat Negeri Sabah di Taman Pantai Lok Kawi, pada Sabtu.

Tambah beliau, program seumpama itu perlu dijadikan aktiviti berterusan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi menarik minat generasi muda menghargai makanan tradisional yang diolah secara lebih sihat.

“Melalui pemakanan seimbang, kita bukan sahaja menjaga kesihatan, tetapi juga mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit,” katanya.