KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menerima kunjungan hormat delegasi Jabatan Pendidikan Sabah yang diketuai Pengarah Pendidikan Negeri, Raisin Saidin di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.
Dalam pertemuan itu, Raisin menyampaikan taklimat mengenai program utama Jabatan Pendidikan Sabah bagi tahun ini serta perancangan untuk tahun hadapan.
Turut dibentangkan perkembangan dan pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pelajar Sabah yang menunjukkan prestasi memberangsangkan.
Hajiji berkata kerajaan negeri kekal komited memperkukuh sektor pendidikan, termasuk meningkatkan kualiti pembelajaran, memperkasa pengurusan sekolah dan memastikan pembangunan holistik murid.
Menurutnya, kerjasama berterusan antara kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Sabah penting bagi memastikan dasar serta inisiatif pendidikan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Hubungan erat ini penting dalam usaha memperkasa sektor pendidikan negeri, seterusnya melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing,” katanya.
