KOTA KINABALU: Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus kekal sebagai medium utama penyebaran maklumat sahih kepada rakyat meskipun sudah mencapai usia 80 tahun.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, kemampuan RTM bertahan selama lapan dekad membuktikan peranannya masih relevan sejak penubuhannya pada 1946.
Menurutnya, RTM bukan sekadar saluran penyiaran, sebaliknya institusi penting yang merakam sejarah perjalanan negara termasuk detik pembentukan Malaysia.
“Tema ‘Teman Setia Anda’ amat bertepatan kerana RTM sentiasa bersama rakyat dalam menyampaikan maklumat tepat serta menghubungkan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau yang pernah bertugas di Angkasapuri ketika era Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, RTM kini semakin signifikan dalam era digital.
Katanya, penyiar nasional itu berjaya menyesuaikan kandungan menerusi pelbagai platform termasuk televisyen, radio dan media sosial.
Dalam pada itu, Mohd Nazri berkata, kredibiliti RTM sebagai sumber berita sahih amat penting dalam menangani penyebaran maklumat tidak tepat.
“Saya yakin RTM akan terus menjadi wadah penyatuan rakyat serta menyemarakkan semangat patriotisme dan jati diri nasional,” ujarnya.
