Lelaki ditahan di One Borneo, mengaku tidak bersalah

KOTA KINABALU: Polis mengesahkan seorang lelaki yang ditahan di kawasan One Borneo Mall, Jalan Sulaman, pada 15 Mac lalu telah didakwa di mahkamah kerana didakwa berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, berkata tangkapan dibuat ketika anggota Task Force IPD Kota Kinabalu menjalankan Ops Cegah Jenayah kira-kira 3 petang.

Katanya, lelaki itu ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah.

“Polis kemudian membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan turut melibatkan rakaman percakapan beberapa individu berkaitan, semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan pemeriksaan Forensik Pergigian bagi membantu menentukan umur sebenar subjek.

Beliau berkata, kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 31 Mac lalu sebelum arahan pertuduhan diperoleh.

“Pada 2 April, tertuduh, Mohd Nico Bin Ansboy, dituduh di Mahkamah Sesyen Khas PATI di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu,” katanya.

Dalam prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Mahkamah menetapkan 30 April ini sebagai tarikh sebutan semula bagi tujuan pra-perbicaraan.

Kasim berkata, mahkamah turut memutuskan tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.

“Bagaimanapun, pihak peguam memohon sebutan semula kes pada 6 April bagi tujuan permohonan ikat jamin,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi memandangkan kes itu kini dalam proses mahkamah.