TAWAU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Airport Baru, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 2.30 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah pikap dan motosikal ketika pemandu pikap berusia 45 tahun dalam perjalanan dari Sin On menuju ke Lapangan Terbang Tawau.
“Apabila tiba di lokasi, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai keluar dari arah kiri jalan dan memasuki laluan hadapan pikap berkenaan.
“Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu pikap tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan pada bahagian tepi sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, impak pelanggaran menyebabkan mangsa bersama motosikalnya tercampak ke laluan bertentangan sebelum terjatuh ke dalam longkang.
Katanya, pemandu pikap tidak mengalami kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
