KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yakin ekonomi negeri itu mampu terus berkembang secara positif meskipun berdepan tekanan luaran termasuk kemelesetan ekonomi dunia akibat konflik berpanjangan di Timur Tengah dan Eropah Timur.
Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menjadi teras agenda pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang dan selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menurutnya, meskipun ketidaktentuan geopolitik dunia boleh memberi kesan kepada bekalan minyak serta mencetuskan tekanan ekonomi dan tenaga, Sabah masih mempunyai asas pembangunan yang kukuh untuk terus bergerak ke hadapan.
“Melalui Hala Tuju SMJ 2.0, saya amat yakin ekonomi negeri mampu berkembang dengan positif meskipun akan berlaku tekanan luaran seperti kesan kemelesetan ekonomi dunia,” katanya ketika berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Ke-75 TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah, di Istana Seri Kinabalu, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri turut menerokai potensi Ekonomi Biru sebagai pemacu strategik baharu berasaskan kelebihan maritim dan biodiversiti Sabah, termasuk dalam sektor bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik dan pelancongan lestari.
Katanya, penerokaan sektor itu khususnya dalam bidang perikanan dan akuakultur dijangka mampu menjana hasil sehingga RM3.25 bilion setahun.
